24 January 2006
Takbur ialah sifat sombong diri yang tercela di sisi agama dan membahayakan akidah seseorang. Firman Allah: Maksudnya: "Aku akan memalingkan orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi ini tanpa alasan yang benar daripada tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat-Ku mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan mereka terus merempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya." (Surah al-A'raf 7:146)
Peringkat-Peringkat Takbur
Peringkat-peringkat takbur disenaraikan dari sudut melihat kedudukan orang tersebut:
1. Takbur kepada Allah.
Ia setinggi-tinggi tingkat takbur dan paling membahayakan diri, ia berpunca daripada sifat jahil, angkuh dan ingkar. Al-Quran mengisahkan kaum 'Aad, Firaun dan Qarun diazab oleh Allah S.W.T kerana memiliki darjat takbur yang seperti ini.
2. Takbur kepada Rasul.
Ia jatuh pada darjat yang kedua peringkat takbur. Golongan ini berpendapat bahawa Rasul ialah manusia biasa yang tidak memiliki apa-apa keistimewaan berdasarkan kepada firman Allah: Maksudnya: "Sesungguhnya kamu (Muhammad) tidak lain manusia seperti kami." (surah Ibrahim 14:10)
3. Takbur terhadap sesama manusia.
Takbur peringkat ketiga ini tidak sama dengan takbur kepada Allah dan Rasul-Nya yang boleh membawa kepada sifat-sifat kafir. Takbur peringkat ini hukumnya berdosa dan fasiq. Dipandang dari beberapa sudut, sifat takbur boleh membawa kepada:
Ingin menyaingi kekuasaan dan sifat-sifat Allah.
Keingkaran terhadap perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya.
Bertuhankan kepada manusia.
Menghalang sifat-sifat baik.
Sebagai contohnya iblis menjadi terkutuk dan kufur akibat takbur terhadap Allah kerana mempertikaikan ciptaan Allah S.W.T atas kejadian manusia dengan melafazkan: Seperti firman Allah: Maksudnya: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruhmu?" Jawab iblis: "Saya lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan saya daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah." (Surah al-A'raf 7:12)
Punca Sifat Takbur
Punca utama sifat takbur menghinggapi seseorang ialah apabila ada dalam perasaannya sifat-sifat sempurna yang dia rasa tidak ada bandingannya dari segi:
Ilmu
Kehormatan
Amal ibadat
Kecantikan
Keturunan
Kekuasaan
Kekayaan
Keakraban
Cara Membasmi Sifat Takbur
Melalui ilmu, seseorang itu hendaklah benar-benar menyedari hakikat diri manusia dari segi penciptaan serta tarafnya di hadapan Allah. Manusia juga perlu mengetahui tujuan manusia dilahirkan ke dunia sehingga ke mana akhirnya.
Dari segi nilai amali seseorang itu boleh mengubati takbur melalui menghias dirinya dengan sifat tawaduk, merendah diri, memperbanyakkan ibadah, selalu sujud, mengkaji kesan-kesan negatif sifat takbur, memperbanyakkan meniru sifat para aulia dan sahabah, melayan orang, menghormati orang lain, menunaikan jemputan orang yang lebih rendah tarafnya serta lain-lain.
Kita perlu bersyukur dan meningkatkan keimanan kita atas kejayaan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah. Semua yang diperolehi adalah dengan izin-Nya. Semua anugerah Allah hanya untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya. Kenapa masih mempunyai sifat Takbur jika kita menyedari hakikat hidup kita yang kita akan kembali kepada-Nya dan dihisabkan?
17 January 2006
Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid b Tsabit menulis serta menyebarkannya.
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s.w.t.
Mengikut keterangan dari kitab "Asraarul Mufidah" sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.
Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
Untuk amalan kita semua.....
Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis
* Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.
* Sabda baginda lagi; "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."
* Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW.
* Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.
* Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
* Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.
* Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
* Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.
* Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
* Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.
* Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah-rumah di sekitarnya.
* Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi juga Allah melimpahkan padanya rahmat.
* Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
* Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
* Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya, dari Abdullah bin 'Amr r.a.
13 January 2006
Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut
11 January 2006
Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud : "Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".
Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.
Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam.
Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.
Rasulullah S.A.W Menunaikan Haji
Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat.
Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam. Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ. Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat.
Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.
Peristiwa Semasa Hijjatul Wada'
Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :
1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa "Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".
3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan "Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud "Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud : "Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"
Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.
Diriku
Name :: Acik^zzorro
Age :: Ask Me Lah
From :: Nilai, Malaysia
Job :: System and Technical Support